Cari Blog Ini

Cuai Hilangkan MyKad Boleh Didenda Hingga RM500


[gambar fail]
Individu yang didapati menghilangkan MyKad mereka dengan cuai boleh dikenakan denda sehingga RM500, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, katanya, kehilangan MyKad akibat bencana alam tidak akan dikenakan denda.

"Kehilangan disebabkan kecuaian, jika hilang pertama kali akan dikenakan bayaran RM100, bagi kehilangan kedua akan dikenakan kadar bayaran yang lebih tinggi sehingga RM500," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong royong membaik pulih rumah seorang warga emas di Kampung Parit 21 di Bagan Datoh, hari ini.

Pada masa ini denda yang dikenakan ialah RM100 bagi kehilangan kali pertama, RM200 bagi kali kedua dan RM300 untuk kehilangan seterusnya.

Katanya sehingga kini kira-kira setengah juta MyKad dilaporkan hilang.

"Kerajaan prihatin terhadap mereka yang hilang kad pengenalan tetapi kerajaan berpendapat mereka harus membayar dengan harga sepatutnya supaya tidak berlaku kehilangan semula," katanya.

Zahid berkata, adalah amat penting untuk menjaga MyKad dengan baik kerana ia menunjukkan kewarganegaraan seseorang individu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat akan distruktur semula bagi mempercepatkan proses permohonan untuk mendapatkan pekerja asing.

Katanya, ketika ini pengambilan pekerja asing dilakukan melalui tiga saluran yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi, bahagian pengambilan pekerja asing Kementerian Dalam Negeri dan bahagian pekerja asing Jabatan Imigresen.

"Permohonan tidak akan lagi dibuat melalui agensi pekerja asing sebaliknya majikan akan meminta terus secara online kepada satu saluran yang akan ditentukan oleh jawatankuasa khas mengenai pekerja asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Zahid berkata, beliau akan melawat negara sumber pekerja asing bagi memudahkan prosedur pengambilan pekerja asing dan penghantaran balik ke negara asal bagi mereka yang tamat tempoh permit kerja.

Beliau berkata, dengan cara itu sistem pengambilan pekerja asing akan menjadi lebih teratur.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.