Cari Blog Ini

Bangladesh Menjadi Negara Terbaharu Sertai Misi Cari MH370



Bangladesh menjadi negara terbaharu menyertai misi mencari dan menyelamat MH370, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak awal pagi Sabtu lepas.

"Pesawat peninjau Bangladesh akan berlepas menjelang pagi nanti manakala kapal pula pada esok hari," kata sumber kepada Bernama.

Sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan turut memberitahu Bangladesh akan mengerahkan semua aset yang boleh ke Malaysia bagi membantu operasi tersebut.

Antara aset terawal Bangladesh yang akan menyertai misi mencari dan menyelamat itu ialah dua pesawat peninjau dan dua kapal perang peronda atau frigat.

"Kami akan memulakan misi di Teluk Benggala dan akan menyelaraskan pencarian di Lautan Hindi dengan tentera laut anda (Malaysia)," katanya.

Difahamkan bantuan daripada Bangladesh itu merupakan inisiatif pejabat Wakil Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat MH370 pada hari ketujuh membabitkan 57 kapal dan 48 pesawat dari 13 negara. Bangladesh akan menjadi negara ke-14.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dengan lima daripadanya warga India selain 12 anak kapal dilapor hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.