Cari Blog Ini

Amerika Tidak Mahu Terlalu Menonjol Dalam Pencarian MH370, Lapor NYT


Semua pasukan keselamatan berusaha mendapatkan maklumat terbaik untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu lalu. Gambar fail.
Semua pasukan keselamatan berusaha mendapatkan maklumat terbaik untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak seminggu lalu [Gambar fail]
Maklumat terbaik mengenai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang mungkin berada di tangan pegawai Amerika Syarikat (AS) yang membantu siasatan, tetapi mereka tidak akan membuka mulut, lapor New York Times.

Dalam  satu perkembangan yang pelik, beberapa pakar terkemuka dalam siasatan penerbangan terhempas, radar dan bahagian dalam Boeing 777 berada di Kuala Lumpur tetapi secara teknikalnya hanya untuk membantu kerajaan Malaysia.

Laporan itu, bagaimanapun, berkata mereka bersikap sangat tidak menonjol.

Jika kejadian seumpama itu berlaku di Amerika Syarikat, mereka akan mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak untuk saling dikaitkan menjadi laporan kemajuan.

Tetapi, dalam kes di Malaysia ini, sekurang-kurangnya setakat ini, laporan itu berkata Amerika Syarikat tidak begitu kelihatan sebagai orang yang memainkan sebarang peranan, dan maklumat terbocor keluar, kadang kala secara bercanggah, daripada kerajaan, syarikat penerbangan dan tentera.

Mengikut perjanjian antarabangsa, negara yang mengetuai siasatan kes pesawat terhempas atau kejadian seumpama ialah negara di mana ia berlaku.

Jika pesawat jatuh di perairan antarabangsa, bidang kuasa diberikan kepada negara syarikat penerbangan yang terbabit. Dalam misteri ini, dianggapkan masalah ini milik Malaysia.

Tetapi, walau siapa pun yang secara rasmi bertanggungjawab, ada prinsip panduan Amerika.

“Kami cuba sebaik mungkin untuk tidak menunjukkan seperti kami menjalankan siasatan itu, walaupun sedikit sebanyak, kami melakukannya,” kata bekas ketua keselamatan penerbangan di Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Bernard Loeb sebagaimana dipetik oleh laporan itu.

Loeb mengetuai delegasi pakar dalam kes pesawat terhempas membabitkan penerbangan Amerika atau kapal terbang yang dibina di AS.

“Apabila berlaku kejadian terhempas di sini, pesawat luar negara atau pembuat enjin seperti Airbus atau Rolls-Royce menerima status “pemerhati” dan sering menyumbangkan kepakaran teknikal,” katanya.

Laporan itu berkata, dalam amalannya, walaupun ia mengikut negara, rakyat Amerika selalunya yang terbabit dalam inkuiri.

“Kebanyakan pegawai tempatan bagus,” laporan itu turut memetik kenyataan seorang lagi bekas ketua keselamatan udara, Thomas Haueter.

“Masalah ialah mereka tidak selalu melakukannya. Kita melakukan perkara ini selalu,” kata Hauter.

Hauter berkata, bergantung kepada keadaan pesawat yang terhempas, AS akan datang dengan penyiasat daripada lembaga keselamatan, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Boeing dan General Electric.

Kadang-kala, katanya, ada segerombolan besar tentera AS yang datang, dan apabila mereka bertemu pihak berkuasa keselamatan penerbangan tempatan, “hanya ada dua orang”.

“Kita sedar keadaan itu. Kita selalunya terpaksa membuat keadaan itu tidak begitu ketara,” katanya.

Laporan itu berkata, sasaran utama penyiasat AS ialah memastikan sama ada terdapat kecacatan dalam perkakasan, amalan penyenggaraan atau operasi pesawat binaan Amerika yang boleh menyebabkan pesawat lain terhempas.

Tetapi, mereka sering berdepan agenda yang bercanggah.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.