Cari Blog Ini

Wanita Buru Lelaki Lebih Tua !


gambar fail
Ada pendapat menyatakan, usia menjadi faktor utama sebelum diterima sebagai ahli baru dengan status menantu dalam sesebuah keluarga.

Apabila terpaksa berhadapan dengan keluarga yang mementingkan maruah dan nama, jurang umur pasangan yang besar akan menjadi alasan untuk mereka tidak disatukan.
 
Meskipun dihalang dan ia seakan menyimpang jauh daripada pegangan masyarakat sejak turun-temurun, fenomena ini makin kerap berlaku dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi bagi mereka yang berumur awal dan pertengahan 20-an.

Untuk mengetahui isu ini dengan lebih mendalam, penulis menemui beberapa gadis malahan ada di antaranya kenalan rapat untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka berada dalam situasi demikian.

Walaupun dipandang sinis dan menerima pelbagai tohmahan, mereka punya alasan dan sebab sendiri kenapa memilih lelaki lebih berusia.

Beza umur lebih 10 tahun

Kebiasaannya bagi kebanyakan pasangan kekasih, si lelaki akan lebih berusia iaitu antara dua hingga empat tahun berbanding si gadis.

Ada juga yang sebaya terutama bagi mereka yang berkenalan dan bercinta sejak bangku sekolah menengah.

Tapi sekarang, tak dinafikan apabila semakin ramai gadis mencari kekasih daripada golongan lelaki berumur.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila si jejaka berumur 10 tahun lebih tua daripada si dara dan bukanlah fenomena luar biasa apabila pasangannya itu sudah berumah tangga atau memegang status duda.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ramai anak gadis yang memilih pasangan tua terdiri daripada golongan pelajar institut pengajian tinggi ataupun mereka yang baru mula menapak membina kerjaya.

Kebanyakannya berumur antara 20 hingga 27 tahun. Persoalannya, apa kelebihan ‘hero tua’ ini berbanding ‘pucuk muda’ yang ramai di luar sana?

‘Hero tua’ lebih berkarisma

Kenyataan ini disuarakan seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Lisa, 26.

Katanya, walaupun luaran dimamah usia, tapi keterampilan lelaki berusia lebih ‘superb’ jika dibandingkan dengan jejaka muda. Malah ada antara mereka masih lagi pergi ke gimnasium dan spa untuk penjagaan diri.

“Bagi saya, karisma terletak pada perwatakan. Saya sudah menjalin hubungan dengan si dia lebih empat tahun.

Walaupun beza umur kami sembilan tahun, tetapi perwatakannya bersahaja dan tidaklah seperti ‘pak cik’.

Dia boleh jadi seorang yang profesional dalam kerjaya dan ‘pak lawak’ ketika kami bersama. Itu buatkan kami serasi.

“Bukan nak stereotaip, tetapi lelaki muda selalunya bersikap kurang matang. Mereka (jejaka muda) ada bijaknya tersendiri, tetapi berperangai lebih kebudak-budakan.

Memang betul ada orang berpendapat perempuan cepat matang daripada lelaki.

Mungkin atas faktor inilah saya memilih lelaki berusia untuk jadi pasangan kerana merasakan lelaki muda kurang profesional tangani masalah.

Kalau dapat pasangan kurang matang, takkanlah selamanya si gadis yang akan buat keputusan? Cuba bayangkan,” soalnya.

Sikap tidak mudah melenting sebaliknya bertanya dengan lembut perihal masalah dan tenang dalam membuat keputusan antara daya penarik lelaki berusia hingga mampu membuatkan anak gadis muda jatuh cinta.

Tak perlu buat pinjaman kahwin

Apabila semakin kukuh dalam kerjaya, lelaki akan menapak ke jawatan lebih tinggi. Sudah tentunya pada tahap ini, mereka mempunyai kerjaya yang tetap dan kewangan stabil.

Lumrah bagi sesetengah wanita, tidak mahu hidup susah selepas tamat pengajian, oleh itu dengan memilih lelaki berusia mampu tampung kehidupan seterusnya.

Pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota, Ermi Yanti, 23, berkata, logiknya memang lelaki akan menyara keluarga walaupun si isteri bekerja.

Dengan mengakui faktor kewangan antara sebab dia memilih jejaka berstatus duda sebagai suami.

Walaupun si suami berumur 33 tahun dan dia baru berusia 23 tahun, keluarganya tidak menghalang mereka untuk berkahwin.

“Memilih lelaki berusia tak salah jika hati suka sama suka. Bukan nak ambil kesempatan, tetapi saya bertuah kerana tak perlu buat pinjaman untuk kahwin.

Banyak rungutan saya dengar daripada kawan yang terpaksa buat pinjaman untuk kahwin dan hadapi masalah lepas kenduri.

Alhamdulillah, Tuhan permudahkan perjalanan hidup saya dan bertemu jodoh yang baik.

“Walaupun perkahwinan baru berusia setahun, tapi kehidupan kami berjalan lancar malah dia banyak bimbing dan ajar saya perihal hidup berkeluarga.

Pengalaman dia yang pernah berkahwin dulu sedikit sebanyak membantu kami untuk bina hidup lebih sempurna,” katanya.

Jejaka berusia sememangnya ‘makan garam’ lebih awal daripada gadis muda. Mereka lebih berpengalaman dalam selok-belok dunia.

Perempuan perlukan lelaki tua untuk jadi pembimbing dan ketua, sebab itulah sebilangan gadis memilih lelaki berusia yang dilihat peka dan arif dalam hal dunia dan sebagainya.

Kepentingan hari tua

Kebanyakan gadis muda yang latar belakang hidupnya susah inginkan jaminan masa depan sebab itulah mereka memilih suami berharta, walaupun perbezaan umur begitu ketara.

Mengahwini lelaki berharta walaupun sudah berusia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati hidup yang selesa tanpa perlu bekerja keras.

Ada gadis yang tidak yakin dengan diri sendiri dan memerlukan sokongan lelaki berusia yang sudah berjaya dalam hidup.

Ada juga gadis sanggup mengahwini lelaki sebegitu supaya mereka dapat hidup senang dan impian menjadi kenyataan untuk menikmati gaya hidup mewah.

Meskipun kenyataan ini kedengaran sinis, tetapi terdapat beberapa individu mengakui kebenarannya.

Ada kenalan penulis berkongsi pengalaman dengan menjelaskan, dia memilih lelaki kaya kerana itu akan membolehkannya menyertai golongan elit dan kelas tertentu.

Malah, dikatakan lelaki tua lebih memahami dan mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik.

Dengan pengalaman hidup sedia ada, cinta lelaki berusia lebih meyakinkan berbanding lelaki muda yang tidak matang.

Berbanding lelaki muda, lelaki berusia tidak membosankan selain tidak lokek berbelanja dan suka berjenaka.

Mempunyai banyak cerita melucukan untuk dijadikan bahan perbualan boleh buatkan hati tertambat bila-bila masa.

Tanggung risiko bersama

Dalam satu artikel dikeluarkan pada 2012 melaporkan, kajian dilakukan terhadap 1,074 pasangan pelbagai latar belakang, usia dan pendidikan di Switzerland serta Amerika Syarikat selama lima tahun mendapati hubungan membabitkan lelaki berusia dengan isteri muda lebih utuh.

Data sama turut menjelaskan, peluang memiliki hubungan perkahwinan berkekalan menjadi enam kali lebih tinggi jika si isteri berusia lima tahun lebih muda atau lebih daripada suami.

Bagaimanapun, latar belakang demografi termasuklah sifat budiman masyarakat Barat berbeza berbanding Timur dan hal ini akui penceramah bebas, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Dalam kalangan wanita tempatan, suami tua, berusia atau matang sebenarnya menjadi kriteria wajib bagi kebanyakan mereka tidak kira sama ada beza umur setahun atau 20 tahun atas pelbagai alasan berbeza.

Beliau turut menjelaskan, petua mudah perlu diikuti isteri yang mengahwini suami tua adalah perlunya bersikap lebih tua daripada usia supaya perbezaan pemikiran tidak menjadi terlalu ketara.

Lihat saja contoh sedia ada. Datuk Khalid Mohamed Jiwa bersama Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Datin Zizie Ezette. Penyanyi Shidee pula kahwini dara berusia 28 tahun muda daripadanya.

Begitu juga Imuda yang berkahwin pada usia 50 dengan wanita berusia 28 tahun.

Jelas lagi bersuluh, sebahagian besar masyarakat tak bersetuju dan akan berbisik-bisik apabila terlihat pasangan begitu jauh jarak usianya.

Penulis anggarkan masyarakat lebih suka lihat pasangan yang kelihatan sepadan daripada luarannya.

Namun pada pandangan penulis sendiri, tua atau muda bukanlah isu besar asalkan si jejaka masih solo dan belum berpunya, tak salah bercinta kalau hati sudah suka sama suka.

Apa juga risiko dan cabaran­nya, harap bersabar dan tanggunglah bersama.

Pasangan dunia maya

Ramai yang mengambil peluang menggunakan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk mencari jodoh.

Ada yang berjaya. Namun ramai juga yang kecundang. Oleh itu, sebelum anda mengambil keputusan untuk mencari pasangan di dunia maya, elok rasanya anda mencuba dulu tip berikut.

1. Maklumat palsu
 
Benar ada ketikanya kita mudah tertarik dengan maklumat peribadi seseorang itu.

Jadi, diingatkan tidak sesekali terpengaruh dengan maklumat dan data yang diberikan kerana ia adalah maklumat palsu yang mungkin memperdayakan mangsa. Paling teruk bila ada yang menyamar.

Lelaki menyamar jadi perempuan, begitu juga sebaliknya.

2. Berhati-hati memberi maklumat
 
Seandainya di antara rakan maya cuba bertanyakan pelbagai bentuk soalan khususnya berkaitan dengan diri anda, cuba elak untuk beritahu secara jujur.

Terutama pada mereka yang baru dikenali contohnya alamat rumah atau nombor telefon peribadi.

Cukuplah sekadar memberitahu nama samaran, umur dan jantina. Itu sudah memadai.

3. Tidak berkongsi gambar
 
Selain maklumat peribadi, gambar diri juga tidak perlu dikongsikan bersama rakan di dunia maya, mungkin mereka mempergunakan gambar anda untuk tujuan yang tidak baik sehingga buat anda menyesal kemudian nanti.

Tambahan pula jika gambar itu boleh mengundang fitnah, buruk padahnya nanti.

4. Ajak rakan lain untuk teman
 
Sekiranya anda bercadang untuk berjumpa rakan media sosial itu, ajaklah rakan lain untuk menemani, bimbang jika dia berniat jahat. Pastikan perjumpaan itu di lokasi yang ramai orang.

5. Jumpa di tempat pelik dan sunyi
 
Abaikan jika rakan di media sosial mengajak anda berjumpa di tempat yang gelap dan sunyi. Seterusnya kalau ingkar arahannya, mengugut untuk mengedar gambar atau bunuh.

Jadi bertindak segera dengan melaporkan kepada pihak berkuasa.

6. Berdoa dan mohon petunjuk
 
Akhir sekali, jika anda buntu dan bimbang untuk membuatkan keputusan dengan sewajarnya berdoa dan memohon petunjuk Tuhan agar anda mendapat pasangan hidup yang serasi dan baik meskipun sesi perkenalan bermula dari dunia maya.

hmetro

1 ulasan:

Kerjaya lelaki berkata...

Wanita memburu lelaki lebih tua adalah kerana lelaki yang lanjut usia telah mempunyai kerjaya dan pastinya mampu memberikan jaminan kepada wanita/isteri dari segi ekonomi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.