Cari Blog Ini

Tragedi Memali : The Star Mohon Maaf


[hd]- Akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini menerbitkan kenyataan memohon maaf atas keterlanjuran menggelarkan Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud @ Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang terlibat dalam peristiwa Memali sebagai 'kumpulan ajaran sesat'.

Dalam Nota Pengarang pada artikel utama muka 40 ruangan Pendapat (View) akhbar berkenaan hari ini, The Star memohon maaf kepada ahli keluarga  dan sahabat handai Almarhum Ustaz Ibrahim Libya yang bersedih atas dakwaan tersebut.

Pernyataan maaf The Star itu diterbitkan di akhir surat bertajuk "Memali incident a sad tragedy" (Peristiwa Memali adalah satu tragedi sedih) oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam dalam tulisan tersebut menjelaskan, Mahkamah Tinggi Alor Setar sendiri telah memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada waris bagi individu yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Jadi bagaimana Allahyarham Ustaz Ibrahim dan pengikutnya boleh dipersalahkan atas tindakan kekerasan apabila kerajaan yang diminta membayar pampasan?” soalnya.

Tambahnya, satu-satunya fatwa yang dikeluarkan berhubung kes tersebut adalah fatwa oleh Majlis Fatwa Kedah yang berpendapat bahawa kumpulan berkenaan tidak patut digelar sebagai para “syahid”.

Malah jelas Khairil, pandangan yang mengatakan Ustaz Ibrahim Mahmud dan para pengikutnya yang terbunuh dalam peristiwa Memali sebagai "syahid" datang daripada ulamak yang disegani, Mudir Sekolah Pondok Lanai, Tuan Guru Haji Omar Zuhdi  dan disokong oleh dua anggota Majlis Fatwa Negeri Kedah, Almarhum Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abdul Razak.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Peristiwa Memali: Masihkah kau ingat?
Hari ini genap 28 tahun berlakunya peristiwa berdarah Memali iaitu pada tanggal 19 November 1985.

Kebetulan pada hari Sabtu lepas saya digabungkan dengan sahabat karib saya Ustaz Islah Ibrahim di dalam satu forum, beliau ialah anak sulung kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood, individu yang menjadi sasaran dalam operasi oleh pihak keselamatan di Memali.

Beliau menceritakan pengalaman yang dilaluinya sendiri ketika berlakunya peristiwa itu sehingga menitiskan air mata, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Ayahnya yang merupakan seorang ulama lulusan ugama universiti terkemuka di Libya dan pernah menuntut di Mesir dan India.

Setelah kembalinya ke tanahair pernah bertugas di jabatan-jabatan ugama Islam di bawah kerajaan. Tetapi ilmunya tidak mengizinkannya untuk berdiam diri melihat ugama Islam dagang di kalangan penganutnya, beliau bangkit menegur dan menasihati kerajaan supaya kembali ke pangkal jalan.

Tindakannya ini dituduh sebagai pelampau, bersekongkol dengan pengganas Komunis, penganut ajaran sesat dan lain-lain lagi tuduhan jahat sehingga membawa kepada operasi berdarah Memali.

Dalam operasi itu As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood bersama-sama 13 orang lagi temannya mati dibunuh oleh anggota keselamatan kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Kampung Memali yang damai bertukar menjadi medan perang, anggota-anggota keselamatan yang lengkap bersenjata dan disokong oleh kereta-kereta perisai berdepan dengan orang kampung yang kebingungan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Adakah orang yang hanya 'bersenjatakan' lidah menegur dan menasihati kerajaan dianggap mengancam keselamatan negara?

Inilah melampau namanya!

Kenapa pihak keselamatan negara boleh berunding dengan penceroboh Sulu yang mendarat di Sabah lengkap dengan senjata tetapi tidak diberikan hak yang sama kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk Kampung Memali?

Kenapa Ayah Pin yang jelas sesat dengan kerajaan langitnya masih lagi bebas dan tidak dikenakan apa-apa tindakan?

Kalaulah beliau betul-betul pengganas kenapa YDPA, Sultan Kedah mencemar duli menziarahi perkuburannya di Parit Panjang?

Kalaulah beliau betul-betul sesat kenapa Al-Marhum Tuan Guru Hj Yahya Junid mengisytiharkan beliau dan teman-temannya adalah syuhada'?

Kalau tidak syahid dunia dan akhirat paling kurang syahid akhirat kerana mati mempertahankan nyawa, keluarga dan kampungnya daripada penceroboh.

Bukankah Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam satu hadis yang mafhumnya; barang siapa yang mati kerana mempertahankan nyawanya maka dia adalah syahid.

Peristiwa ini kekal menjadi titik hitam sejarah negara yang tidak boleh dipadamkan. Walaupun 28 tahun sudah berlalu keadilan kepada mangsa-mangsa peristiwa Memali dan keluarga mereka masih lagi belum dilunaskan.

Di akhir pertemuan saya dengan Ustaz Islah saya terkedu apabila mendengar kata-kata beliau dengan teresak-esak menyebut; walaupun di atas dunia ini mereka yang bertanggungjawab boleh terlepas tetapi tunggulah perbicaraan di hadapan Allah Tuhan yang Maha Besar di Padang Mahsyar kelak.

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka Allah leka terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.

Sesungguhnnya kami lambatkan mereka sehinggalah kepada hari terbeliak mata-mata (kerana melihat azab Allah di hadapan mereka)." (Surah Ibrahim: 42)

Penulis ialah AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.