Cari Blog Ini

Plagiat : Kenaikan Pangkat Dr Ridhuan Tee Di UPNM, Dikecam


Dr Ridhuan Tee
[tmi]- Bekas rakan sekerja Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar) menggambarkan kenaikan pangkat ahli akademik pro kerajaan itu di sebalik pelbagai tuduhan plagiat yang dilemparkan kepadanya sebagai “tamparan” bagi ahli fakulti yang lain.

Senator Dr Ariffin S M Omar berkata, Dr Ridhuan yang dinaikkan pangkat kepada profesor madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) awal tahun lalu diselubungi dengan tuduhan plagiat.

“Siasatan dilancarkan tetapi naib canselor dan timbalan naib canselor akademik pada masa itu tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Dr Ridhuan dan sebaliknya beliau dinaikkan pangkat pula,” katanya yang pernah mengajar di UPNM.

Dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen hari ini, Dr Ariffin berkata, kenaikan Dr Ridhuan tidak setaraf dengan pensyarah lain di universiti berkenaan yang bekerja keras untuk dinaikkan pangkat.

“Kita membuang pelajar yang didapati memplagiat kertas kerja mereka.

Bagaimana pula jika pensyarah didapati melakukan perkara yang sama? Adakah kita menyatakan tidak apa jika tenaga pengajar yang melakukannya?

“Jika kerajaan serius terhadap impian menjadikan institusi pendidikan kita bertaraf dunia, maka mereka sepatutnya mengambil tindakan terhadap Dr Ridhuan sebagai pengajaran kepada yang lain,” katanya.

Dr Ariffin yang juga naib pengerusi DAP mengajar subjek Pengajian Strategik di universiti itu dari pertengahan 2010 hingga Januari tahun ini.

Beliau mendakwa menerima banyak aduan mengenai Dr Ridhuan daripada kakitangan dan pelajar.

“Ini bukan kali pertama beliau memplagiat kertas kerja kajian.

Beliau sudah banyak kali melakukannya tetapi tiada tindakan dikenakan kepadanya hingga kini,” katanya.

Pada sidang akhbar yang sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut mengedarkan salinan kertas kerja Dr Ridhuan bagi satu projek bahasa Inggeris dan salinan artikel asal oleh Dr Airil Yasreen Mohd Yassin yang diambil daripada laman web Airil Sametok.

“Apabila anda bandingkan kedua-dua artikel itu, anda akan mendapati Dr Ridhuan meniru hampir keseluruhan artikel daripada Dr Airil, termasuk kesilapan tatabahasa dalam artikel asal, tanpa memberikan apa-apa pembahagian hak kepada penulisnya,” kata Kok.

“Kami difahamkan bahawa penulisan akademik ini mendorong kepada kenaikan pangkatnya daripada profesor kanan kepada profesor madya di UPNM,” katanya.

Terdahulu, Dr Airil, pensyarah kanan di fakulti kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia, berkata beliau sedang menunggu nasihat pasukan undang-undang universiti berhubung perkara itu.

Kok mendakwa, Kementerian Pendidikan gagal mengambil perkara itu secara serius walaupun isu itu dibangkitkan beberapa kali di Parlimen.

“Pemimpin MIC, Vel Paari juga ada membuat laporan terhadap Dr Ridhuan mengenai perkara ini,” katanya.

Menggelar Dr Ridhuan sebagai rasis yang menganjurkan pembersihan etnik, Kok berkata, beliau hairan bagaimana Dr Ridhuan boleh mengajar subjek hubungan etnik di universiti itu.

“Kita akan hantar surat kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan naib canselor UPNM supaya tuduhan terhadap Dr Ridhuan diambil secara serius,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.