Cari Blog Ini

Kerajaan Malaysia Langgar Perjanjian Damai Haadyai 1989 ?


Rundingan Damai Haadyai 1989
Bercakap dalam sesi wawancara dengan stesen radio Bfm petang tadi, Abdul Rahim yang terlibat dalam menggubal perjanjian susulan dengan PKM yang menggariskan terma dan syarat pelaksanaan perjanjian damai itu berkata, perjanjian antara kerajaan dan PKM sepatutnya terlaksana ke atas semua anggota PKM dari "kedudukan paling atas sehinggalah yang paling bawah".

Beliau melahirkan rasa hairan mengapa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia sedangkan pemimpin-pemimpin tertinggi PKM seperti Pengerusinya, Abdullah CD dibenarkan berbuat demikian.

Malah Abdullah CD dan isterinya Suryani Abdullah, ujar Abdul Rahim diperkenankan menghadap Sultan Perak sekembalinya mereka ke tanah air.

Seorang lagi bekas pemimpin komunis, Abdul Rashid Maidin yang menetap di sebuah perkampungan bekas anggota PKM di sempadan Malaysia-Thai, jelas Abdul Rahim menaiki penerbangan ke tanah suci Makkah dari Kuala Lumpur dengan keizinan Kerajaan Malaysia.

Kerajaan, ujarnya perlu menghormati perjanjian damai yang dimeterai dengan PKM seperti diamalkan negara-negara lain dan tidak dilihat sebagai mempersendakannya.

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Haadyai yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan PKM adalah anggota PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka dan PKM dibubarkan.

Chin Peng yang mewakili PKM juga berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan anggota PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.

Menurut Artikel 3 perjanjian, Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota PKM untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu dan kerajaan akan membantu bekas-bekas anggota PKM untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Perjanjian yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 itu juga memberi kebebasan kepada bekas anggota PKM untuk memilih sama ada pulang ke Malaysia atau terus tinggal di Selatan Thailand.

Seramai 431 ahli PKM memohon pulang ke Malaysia tetapi 93 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian dan masalah status kewarganegaraan.

Kerajaan Malaysia juga bersetuju membayar subsidi kehidupan sebanyak RM8,000 sekembalinya bekas anggota PKM ke Malaysia dan wang saraan hidup sebanyak RM300 sebulan untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanah air.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

(Ulangtahun ke-20 - pencabulan perjanjian hatyai)
2 Disember 1989 adalah ulangtahun ke 20, Perjanjian Hatyai yang ditandatangani oleh Parti Komunis Malaya(PKM), Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand.

Seluruh dunia menyaksikan upacara menandatangani pendamaian ini dan sejak perdamaian tersebut, memang tidak ada persengketaan bersenjata antara dua puak ini.

Namun demikian, sehingga hari ini, para pejuang dari Parti Komunis Malaya dilarang menjejakkan kaki ketanahair mereka, iaitu tempat mereka bertempur dengan penjajah Jepun dan British sehingga akhirnya kemerdekaan diberikan pada 31 Ogos 1957.

Ahli sejarawan, ahli akademik dan pemerintah Malaysia sendiri telah mengakui bahawa PKM telah memainkan peranan penting dan sumbangan dalam mempercepatkan kemerdekaan negara kita.

Persoalan timbul mengapa PKM tidak mengundurkan senjata setelah Malaya merdeka pada tahun 1957 tetapi hakikat adalah perjanjian Baling 1955 gagal kerana Tengku Abdul Rahman dibawah arahan British mahu semua ahli PKM serah diri dan ditahan dan dibuat pemulihan akhlak.

PKM tidak setuju tetapi tuntutan yang sama dari PKM dipersetujui pada tahun 1989 semasa Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri menyebabkan perang saudara ini tamat.

Kini 20 tahun, ulang tahun Perjanjian ini, namun anggota-anggota PKM yang kini dalam usia tua termasuk Chin Peng tidak dibenarkan pulang.

Pelbagai alasan diberikan. Antaranya adalah Chin Peng bukan warganegara Malaysia dan PKM tidak didaftar dibawah ROS.

Antara tuduhan yang lagi liar adalah kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Latiff bin Ahmad, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 11 November 2009 berkata, "...Chin Peng dia tidak meletak senjata sebab itu kita tidak terima Chin Peng, PKM letak senjata, tetapi Chin Peng tidak letak, itu saya kena betulkan."

PSM meminta Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak untuk menutup episode sejarah ini dan membenarkan Chin Peng dan bekas anggota PKM pulang ke negara mereka.

Apakah yang ditakutkan? Mungkinkan Kerajaan BN takut bahawa kepulangan Chin Peng akan menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia menyambut kepulangan beliau?

Mengapa Diskriminasi Chin Peng ?

Parti Sosialis Malaysia dalam Kongres PSM ke 11 membuat kenyataan terbuka dan berani meminta Kerajaan Malaysia menunaikan perjanjian damai Haadyai dan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pulang ke tanahair.

PSM ingin sekali lagi ingin menegaskan dan mempersoalkan :-

1. Bila Penjajah Jepun dan British yang telah mengakibatkan banyak kesengaraan di Negara ini boleh diterima masuk kedalam negara selepas perang, mengapa pula anggota PKM yang membantu mempercepatkan kemerdekaan Malaysia tidak dibenarkan pulang.

2. Mengapa media asyik menfokus Chin Peng dan mengujudkan satu persoalan perkauman padahal pemimpin PKM seperti Pengerusinya Abdullah CD, Rashid Mahidin, Samsiah Fakeh dan Abu Samah dibenarkan pulang dan mereka juga telah diberi penghormatan mengadap Yang Dipertuan Agung Sultan Azlan Shah semasa beliau menjadi Agung.

3. Jika Maharajalela, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Bahaman dan lain-lain pembesar yang menentang Penjajah British boleh diistiharkan sebagai wira, mengapa pula Ahli PKM yang menentang Penjajah British dilabel sebagai penganas, iaitu label yang diberikan oleh Penjajah.

4. Apakah perbezaan perjanjian Haadyai 1989 dengan perjanjian Baling 1955? Syarat yang diterima pada tahun 1989 sebenarnya adalah syarat yang hampir sama yang dikemukan semasa perjanjian Baling 1955.Perang saudara antara Komunis dan kerajaan Malaysia berlanjutan kerana Tengku atas arahan British tidak mahu membenarkan PKM meletak senjata, malah mahukan mereka ditahan dalam kem tahanan.

Baru-baru ini Chin Peng dalam wawancara bersama Star yang disiarkan pada 22 November 2009 dilaporkan memohon maaf, setelah mengakui bahawa PKM mungkin tersalah bunuh mereka yang tidak berdosa ketika dalam zaman perang.

Malah, beliau sanggup bertangunggjawab ke atas segala tindakan rakan seperjuangannya. Namun reaksi Timbalan Perdana Menteria adalah memutuskan untuk tidak bersedia menerima walaupun dia memohon maaf.

PSM meminta agar anggota-anggota PKM dibenarkan pulang dan sumbangan mereka diiktiraf dalam penulisan semula sejarah Malaysia.

Sejarah Malaysia hanya menceritakan sebahagian sahaja perjuangan kemerdekaan iaitu perjuangan yang dijalankan oleh UMNO.

UMNO diberi layanan istimewa oleh British kerana UMNO sedia bekerjasama dengan British manakala parti-parti dalam gabungan PUTERA-AMCJA dan PKM hanya diberi layanan dalam penjara atau disingkir dari negara.

Ulangtahun ke 20 Perjanjian Hadyai tidak bermakna dan tiada signifikan jika perjanjian itu tidak dikotakan.

PKM sudah mematuhi perjanjian ini dengan meletak senjata dan kini tanggungjawab Kerajaan Malaysia pula untuk menunaikan tanggungjawabnya…walaupun sudah 20 tahun lambat. -[sumber]

Dikeluarkan Oleh:

S.Arutchelvan
Setiausaha Agung PSM

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KEPULANGAN CHIN PENG: SATU PERJANJIAN, DUA KETIRISAN

Kerajaan Malaysia gagal menunaikan sepenuhnya Perjanjian Damai Haadyai-nya terhadap Parti Komunis Malaya (PKM), apabila menolak pemohonan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya, malah terus menyerang PKM dengan istilah negatif menerusi alat propagandanya.

Lebih-lebih lagi, kerajaan Malaysia tidak menghantar wakil rasminya untuk menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Perjanjian Damai Haadyai, sedangkan kerajaan Thai diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negerinya.

Demikianlah pandangan penganalisa politik, James Wong Wing On ketika mengulas isu kepulangan Chin Peng dalam satu ceramah yang dianjurkan bersama oleh The Rock News, Malaysiakini dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Ceramah yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 120 orang.

"Dua Ketirisan"

James Wong memetik kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor yang mengakui bahawa PKM telah menunaikan kesemua perjanjiannya terhadap kerajaan Malaysia.

Antaranya termasuklah menamatkan perjuangan bersenjata dan membubarkan pasukan bersenjata PKM.

Sebaliknya, kerajaan Malaysia mengingkari perjanjian untuk membenarkan kepulangan semua "Malaysian Origin" PKM ke tanahair, apabila menolak pemohonan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia.

Di samping itu, James Wong menganggap kerajaan Malaysia tidak mengawal alat propagandanya dengan baik, terutamanya apabila Utusan Malaysia masih menggunakan istilah seperti "pengganas" untuk menyifatkan PKM.

Menurut pemerhatian beliau, buku yang digunakan pasukan tentera telah menukarkan istilah "pengganas" kepada istilah yang lebih neutral, iaitu "pasukan bersenjata PKM" ketika menyentuh sejarah ini.

"Perjanjian bukan sekadar perkataan dalam bentuk hitam putih, tetapi ada semangat di sebaliknya. Itu (istilah pengganas) adalah propaganda ketika itu. Apabila zaman itu telah berlalu, usahlah guna perkataan sebegitu...," katanya.

James Wong menyeru agar pihak kerajaan Malaysia kembali kepada perjanjian, yang melarang agar ketiga-tiga pihak menyifatkan pihak lawan dengan istilah seperti "pengganas", "anjing penjajah", "tali barut special branch" dan sebagainya.

"Semua (ketiga-tiga pihak) adalah manusia. Zaman berperang telah berlalu, ini zaman untuk berdamai... (kita) perlu ada semangat saling memaafkan, dari hati ke mulut!" kata James Wong.

Setelah perjanjian ditandatangani...

Semalam, James Wong (gambar kiri) menekankan betapa pentingnya apabila perjanjian ditandatangani.

Beliau berkata, Rahim Noor pernah memaklumkan bahawa apabila rundingan damai dengan PKM bermula di sekitar tahun 1986 dan 1987, sehinggalah ianya ditandatangani pada tahun 1989, tiada suara bantahan dalam kerajaan sendiri.

Maka, James mempertikaikan mengapa bantahan kini dilontarkan kepada seorang tua yang berumur 85 tahun apabila beliau menyampaikan hasrat untuk pulang ke tanahairnya?

Beliau mengibaratkan keadaannya sedemikian, "Katakanlah saya telah bercinta dengan seorang tukang urut yang juga pelacur. Kemudian saya membuat keputusan untuk berkahwin dengannya."

"Selepas 10 tahun, saya nak bercerai dengannya kerana sebab-sebab tertentu. Saya tak boleh guna alasan bahawa dia seorang pelacur 10 tahun yang lalu.

Saya telah menandatangan untuk berkahwin dengannya, secara sedarnya bahawa dia seorang pelacur ketika itu. Saya tak boleh ungkit perkara lama..."

James Wong walaupun bersimpati terhadap mereka yang terkorban semasa zaman perang,namun menganggap bahawa kita perlu melihat ke depan.

Untuk berlaku adil kepada PKM, ramai juga yang terkorban ketika perjuangan bersenjata untuk menentang penjajah Inggeris dan Jepun.

"Ramai juga antara anggota PKM yang terkorban dan tercedera. Tetapi mereka tidak tampil ke depan mendakwa kaki atau tangan mereka terpatah ketika itu...kerana ia telah berlalu.

Kalau asyik nak mengira, sampai bila kita nak mengira?" tanya beliau.

James Wong berpandangan bahawa maruah mereka yang terkorban, sama ada yang mati mahupun cedera perlu dihormati, dengan tidak menonjolkan atau memperbesarkan setelah peristiwa itu berlalu.

Untuk James Wong, penonjolan betapa kejamnya seseorang dibunuh hanya akan menjejaskan maruah mangsa.

Asingkan apa yang membezakan...

Malah, James Wong mencadangakan agar perjuangan bersenjata PKM perlu dilihat dalam konteks sejarah.

Beliau mengingatkan bahawa parti politik seperti UMNO, MCA, DAP dan sebagainya belum pun wujud pada tahun 1930-an.

Maka PKM menjadi pilihan kepada mereka yang ingin menentang penjajah British dan Jepun.

Ketika menjawab soalan nisbah kaum dalam PKM, James Wong menjelaskan bahawa masyarakat kaum masing-masing berbeza pandangan terhadap penjajahan Bristish ketika itu.

Beliau berkata, sebahagian masyarakat Melayu cuba "meminjam" kuasa daripada Jepun untuk menghalau penjajah Bristish pada tahun 1941.

Bagaimanapun, serangan Jepun ke China telah mencetus kemarahan masyarakat Cina di Tanah Malaya. James Wong berkata, "Sentimen ini mudah difahami.

Lihat apa berlaku sekarang, apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan, umat Islam di sini turut berkongsi kemarahan.

Apatah lagi pada zaman itu, ramai orang Cina di sini masih mempunyai saudara mara di China?"

Keadaan ini menjelaskan mengapa nisbah orang Cina lebih besar dalam PKM, satu parti yang mengambil pendirian yang jelas untuk menentang penjajah Jepun.

James Wong juga mengingatkan agar dibezakan antara serangan "aggressive" dengan "defensive", dan antara "collateral damage" dengan "intentional damage".

Maksudnya, serangan untuk menentang penjajahan tidak boleh disamakan dengan serangan untuk menjajah; malah kemusnahan yang disengajakan tidak boleh disamakan dengan kemusnahan yang tidak sengaja.

Beliau bagaimanapun menyanggah tanggapan bahawa hanya komunis yang menggunakan keganasan untuk membunuh mereka yang tidak berdosa, dengan mengambil pembunuhan orang cina oleh British di Batang Kali sebagai contoh, dan Agent Orange yang pertama kali digunakan di Tanah Malaya, sebelum Vietnam.

Apa yang ditunaikan...

Walau bagaimanapun, James Wong tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia telah menunaikan sebahagian tanggungjawabnya yang termaktub dalam perjanjian, seperti membenarkan anggota PKM untuk kembali ke Malaysia dan memulakan kehidupan baru.

Antara anggota PKM yang dibenarkan pulang juga dibenarkan untuk bebas bergerak, menerbitkan memoir dan sebagainya.

Justeru itu, dua ketirisan yang tersebut di atas merupakan kecacatan pada pihak kerajaan Malaysia.

-[sumber]

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

MELAKSANAKAN PERJANJIAN DAMAI
DENGAN TULUS IKHLAS

Mesyuarat Perlaksanaan Kerjasama Perdamaian antara pihak kerajaan Thai dengan PKM telah diadakan di Hotel Lee Gardens Haadyai pada 6 November 2002 . 

Pihak kerajaan Thai diwakili oleh Tan Sri General Chaovalit Yongchaiyuth, Y.B. Mat Nor Mat Ta dan lain-lain manakala di pihak PKM pula dihadiri oleh Chen Ping, Abdullah C.D., Rashid Maidin, Ah Chen, Suriani Abdullah, Abu Samah Mohd Kassim dan lain-lain.

Mesyuarat membincangkan masalah perlaksaanan perjanjian perdamaian antara Kerajaan Diraja Thailand dan PKM. 

Semua perkara bersangkutan dengan perjanjian damai diperbahaskan. Pihak Kerajaan Thailand di samping membereskan semua tanggungjawabnya yang termaktub dalam perjanjian damai juga telah bersetuju memberikan kewarganegaraan kepada bekas anggota TRM yang bukan warganegara Thai. 

Wakil PKM telah menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Diraja Thailand di atas perlaksanaan yang tulus ikhlas dalam perjanjian damai 1989.

Kedua-dua pihak Kerajaan Diraja Thailand dan PKM telah malaksanakan perjanjian dengan penuh ikhlas dan sebaik mungkin. 

Hari ini, bekas kader dan perajurit TRM bukan lagi dianggap perantau. Mereka memiliki hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan Thailand sebagaimana warganegara yang lain. -[sumber]

gambar beramai-ramai: wakil Kerajaan Diraja Thailand dan wakil PKM
Tan Sri General Chaovalit Yongchaiyuth
Chen Ping
Ah Chen
Rashid Maidin

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

PENGATURAN PENTADBIRAN DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN PARTI KOMUNIS MALAYA SELARAS DENGAN PERSETUJUAN MENAMATKAN PERMUSUHAN

sumber

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.