Cari Blog Ini

[Gambar] Polis Tembak Diri Sendiri Selepas Tembak Isteri & Bapa Mertua



                 Pemantauan Kesihatan Mental Anggota PDRM Akan Dipertingkat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaam dapat dibantu dari awal.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata langkah itu perlu dilaksana segera untuk mengelakkan tiada anggota atau pegawai PDRM hilang pertimbangan dan bertindak di luar batasan.

"Kita perlu lebih prihatin dalam membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah.Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang Piala Ketua Polis Negara 2013, di sini, Ahad.

Mohd Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang lans koperal menembak isteri serta bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri di Labis, Johor, pada Sabtu.
 
Mengulas lanjut, Mohd Bakri berkata polis tidak menolak kemungkinan anggota terbabit mengalami masalah tekanan perasaan, namun polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar.

"Kita akan melihat kejadian ini daripada pelbagai sudut, termasuk siasatan di peringkat dalaman.

Selain itu, kita akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya.

Dalam kejadian malam semalam, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, yang tinggal di Kampung Padang Lerek 1, kira-kira 90 kilometer dari lokasi kejadian pertama.

Isteri suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapa mentuanya pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Suspek juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam PDRM adalah seorang anggota yang berdisiplin sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, PDRM akan mempertingkatkan kawalan sempadan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) berikutan tindakan tentera Filipina menggempur kumpulan pemisah yang menceroboh Zamboanga.

"Kita sentiasa memantau kawasan terbabit supaya tidak sewenangnya diceroboh individu atau kumpulan daripada Filipina yang mahu melarikan diri akibat pergolakan yang tercetus.

"Bilangan anggota kita yang ditempatkan untuk mengawal kawasan terbabit sudah mencukupi dan mampu mengawal sempadan daripada diceroboh," katanya. -BERNAMA

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

                    Lans Koperal Pernah Kata Nak Tembak Orang - Abang Ipar 

Lans Koperal Fadzly Omar, 29, yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak dirinya sendiri pernah menyatakan dia akan menembak seseorang sambil menunjukkan pistol dipinggangnya.

Perkara itu diberitahu abang iparnya Ezam Abdul Kadir, 34, ketika mereka bersembang pada hari raya bulan lalu.

Ezam memberitahu pemberita pada mulanya beliau menganggap perkara itu sebagai gurauan adik iparnya itu tanpa mengesyaki apa-apa.

"Saya fikir dia mahu menembak penjenayah atau peragut. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukan perkara itu," katanya di rumah mayat hospital di sini.

Dalam kejadian antara pukul 7 hingga 7.15 malam tadi itu, suspek bertindak menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, di rumah bapa mentuanya di Jalan Sialang, Padang Lerek 1 di sini sebelum menembak dirinya sendiri.

Sebelum itu suspek dengan menggunakan Revolver .38 menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis, Segamat sebelum memandu kereta dengan membawa anak lelakinya yang berumur dua tahun ke rumah bapa mentua yang terletak kira-kira 90 kilometer dari situ.

Ezam berkata sebaik tiba di rumah bapa mentuanya, adik iparnya itu lalu masuk ke dalam rumah dan meminta beliau dan adik perempuannya Norzafira, 26 keluar dan meninggalkan dia bersama bapanya di ruang tamu.

"Sewaktu saya di dapur dan baru hendak menyuap kuih ke dalam mulut, saya terdengar bunyi letupan seperti bunyi mercun. Saya menjenguk ke luar tingkap dan saya dapati tiada sesiapa pun yang bermain mercun.

"Saya rasa tidak sedap hati dan terus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu dan ternampak ayah dan adik ipar saya terlentang berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata bapanya yang masih bernafas segera dikejarkan ke hospital oleh orang ramai dan meninggal sebaik tiba sementara adik iparnya itu mati di tempat kejadian.

Ezam mengakui hubungan antara suspek dengan isteri suspek agak dingin sejak kebelakangan ini kerana si isteri dikatakan tidak tinggal bersama suspek di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis.

"Adik saya akan pergi tinggal bersama pada setiap petang Jumaat selepas habis kerja dan pulang ke Tangkak pada petang Ahad.

Petang Jumaat lalu, dia seperti biasa pergi menemui suaminya di Labis bersama anak lelakinya dan arwah ada meminta saya tinggalkan wang RM10 untuk bekalan ke sana. Itulah kali terkahir saya jumpa arwah," katanya.

Sementara itu ibu mentua suspek Rogayah Alip, 62, berkata menantunya itu seorang yang pendiam dan jarang bercampur dengan anggota keluarga mereka.

Beliau berkata semasa kejadian, beliau baru tiba di rumah setelah keluar membeli barang keperluan dapur bersama salah seorang anak lelakinya Mohamad Syarazi, 25.

"Sebaik keluar dari kereta, makcik terdengar bunyi dua kali letupan. Ingatkan bunyi mercun tetapi makcik terkejut apabila anak perempuan makcik Norzafira yang sedang bermain dengan anak lelaki arwah menjerit apabila ternampak ayah dan abang iparnya terbaring dengan berlumuran darah di dalam rumah," katanya.

Jenazah Norakmal dan Abdul Kadir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas waktu maghrib manakala jenazah Fadzly dibawa pulang ke Felda Palong 3, Negeri Sembilan.

-BERNAMA

* Lans Koperal Polis Tembak Isteri, Bapa Mertua

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.