Pilihan Raya Kecil : PKR, DAP Sedia Bantu PAS Di Kuala Besut

PRK: Anwar janji sepakat bantu Pas

Tidak timbul lagi percanggahan dalam PR untuk Pas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Meskipun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah menggesa Pas memboikot PRK sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU13, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, PR sepakat menyokong Pas bertanding dan akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan.

"Kita bukan saja menyokong malah akan berkempen sekuatnya untuk pastikan kemenangan calon Pas," katanya di Parlimen, semalam.

Menurutnya, PRK kali ini berbeza kerana ia akan bawa perubahan dalam senario politik dan Kerajaan Terengganu jika PR menang.

"Hal siapa bertanding pun tak timbul kerana saya telah bincang dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan kerusi itu memang milik Pas," katanya.

DAP sedia bantu PAS di Kuala Besut

DAP hari ini turut menyatakan komitmen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut nanti.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke memberitahu semangat kerjasama di dalam Pakatan Rakyat begitu kuat dan setiap parti akan memberi sokongan serta kerjasama penuh kepada parti yang bertanding.

"Sebagai rakan di dalam Pakatan Rakyat, DAP akan memberi sokongan penuh kepada PAS pada PRK nanti.

"Kita menanti permintaan rakan kita dari PAS bentuk kerjasama yang mereka perlukan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) nanti," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban turut menjelaskan walaupun PAS mempunyai kekuatan sendiri di Terengganu, namun apa-apa pertolongan yang diperlukan dari DAP akan dipenuhi.

"Saya yakin PAS mempunyai kekuatan mereka sendiri terutamanya di Terengganu, tetapi sebagai rakan DAP akan membantu mengikut apa yang mereka perlukan," sambung beliau.

Menurut beliau memandangkan komposisi Melayu di kawasan Kuala Besut adalah lebih 98 peratus Melayu, DAP mungkin diperlukan untuk peranan sokongan.

"Kalau di pantai timur kempen itu akan dikendalikan oleh PAS, cuma kita akan memainkan peranan sokongan.

"Kita lihat bentuk sokongan yang diperlukan oleh PAS, DAP sedia membantu dan apa yang pasti pimpinan utama DAP akan turun berkempen pada PRK nanti," kata beliau lagi.

Beliau yang menegaskan PRK ini merupakan pilihanraya yang amat penting kepada Pakatan Rakyat, kemenangan PAS akan mengubah keseluruhan senario politik di Terengganu.

Tiada ulasan: