[Panas] Bekas Menteri Bidas Menteri !

bm_3
Bekas Menteri Zainuddin Maidin tegur Khairy
Menteri  Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak sepatutnya bercakap bagi pihak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan supaya pihak yang tidak boleh menerima sistem politik negara berhijrah ke luar negara.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Ahmad Zahid sendiri tidak seharusnya bersikap apologetik selepas dikritik berhubung kenyataan itu kerana pihak yang mengkritiknya tidak memberi faedah kepada Barisan Nasional (BN) atau negara.

“Mereka ini adalah golongan yang jika berbudi bahasa atau bercakap dengan bahasa beradab pun tidak melihat kebenaran kerajaan dan tidak akan kembali menyokong kerajaan,” katanya seperti dipetik menerusi blognya di http://zamkata.blogspot.com hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu merupakan pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian kerajaan.

Menurut Zainuddin, jika kenyataan Ahmad Zahid itu tidak sesuai pada pandangan Khairy, tidak bermakna kenyataan tersebut juga tidak sesuai kepada majoriti ahli UMNO yang memilih Ahmad Zahid sebagai Naib Presiden.

Malah, katanya, kenyataan Khairy itu memberi impak kepada pendirian Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri dalam menghadapi cabaran daripada kumpulan yang tidak tahu mengenang budi.

“(Ahmad) Zahid tidak perlu menjelaskan bahawa kenyataannya itu telah difahami diluar konteks oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka sengaja berbuat demikian,” katanya.

ZAHID TERIMA SOKONGAN 

Sementara itu , Utusan Malaysia turut melaporkan bahawa  pelbagai  pihak tampil menyatakan sokongan terhadap kenyataan  Ahmad Zahid Hamidi supaya mana-mana pihak yang berterusan menjadikan undi popular sebagai alasan enggan menerima kekalahan dalam pilihan raya umum lalu berhijrah ke negara republik.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, saranan Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO itu wajar kerana pembangkang ketika ini sengaja menyemai benih kebencian dalam hati rakyat sedangkan sistem pilihan raya berasaskan acuan British telah sekian lama diamalkan.

“Kenyataan beliau tepat dan wajar. Ini kerana sudah ada kelompok warganegara yang tidak ada lagi kesetiaan kepada negara sendiri sebaliknya secara aktif mahu merosak dan menjahanamkan Malaysia dengan menanam kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah.

“Saranan agar berhijrah ke negara republik itu pada saya adalah sesuatu yang praktikal. Undi popular ini hanya sebahagian serangan pembangkang ke atas institusi negara, raja-raja Melayu, agama Islam serta hak keistimewaan kaum bumiputera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata, pihak yang tidak setuju dengan sistem pilihan raya ‘first past the post’ iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote boleh berhijrah ke negara republik kerana kerajaan Malaysia dipilih berdasarkan parti yang memenangi jumlah kerusi paling banyak.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaariberkata, tindakan mempertikai dan mempolitikkan sistem pilihan raya negara ini yang sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan jelas membuktikan pembangkang tidak menghormati asas pembentukan negara.

“Saya setuju dengan kenyataan Ahmad Zahid kerana ini fakta dan negara kita tak pernah mengamalkan sistem pemilihan kerajaan berasaskan kepada undi popular.

Ini sudah dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menjadikan undi popular sebagai isu bererti mempertikai asas negara kita sendiri,” katanya.

Sokongan serupa disuarakan Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman yang menyifatkan pembangkang tiada jiwa besar menerima kekalahan sehingga sanggup menjadikan undi popular sebagai isu sedangkan sejak sekian lama bertanding mengikut sistem sedia ada.

Sementara itu, Presiden Gabungan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail menyokong penuh kenyataan Ahmad Zahid kerana tindakan pembangkang menjadikan isu undi popular tidak lebih sekadar menjayakan misi menggulingkan kerajaan BN melalui rusuhan.

“Malaysia negara demokrasi yang sentiasa mengikut peruntukan undang-undang, mereka bebas untuk memilih sistem pentadbiran yang sesuai dengan selera masing-masing, jadi apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu tepat dan sesuai, kalau tak suka dengan sistem negara ini, mereka boleh pergi ke negara lain,” ujarnya.~ tmt

Tiada ulasan: