Orang Umno Pun Suka Hamidah Kalah

Adun Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon berpuas hati dengan keputusan yang dicapainya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Menurutnya, beliau telah mendapat sokongan tinggi daripada masyarakat di Dun tersebut termasuklah bukan Melayu.

Sokongan orang Melayu juga katanya bertambah berbanding pilihanraya 2008 lalu bagi memastikan kemenangan selesa beliau di Dun Sungai Rapat dengan majoriti 2638 undi.

“Keputusan PRU13 sangat baik apabila kita (Pakatan Rakyat) dapat memenangi ke semua kerusi di parlimen Gopeng dan menawan kerusi Dun Sungai Rapat yang dulunya kubu kuat BN disitu,” katanya ketika berucap di Majlis Kesyukuran Kemenangan PAS anjuran Unit Peti Undi (UPU) Kampung Pisang, 16 Mei lalu.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Batu Gajah, Ustaz Ismail Ariffin, Pengarah Pilihanraya PAS Gopeng, Badrin Khalid dan kepimpinan PAS Batu Gajah.

Menurutnya, era kesombongan bekas calon BN yang menentang beliau, Dato’ Hamidah Osman telah dilenyapkan oleh masyarakat di Dun itu dengan menghukumnya melalui kertas undi pada pilihanraya ini.

Jelasnya, kejayaan beliau mengalahkan Hamidah ternyata menggembirakan masyarakat bukan sahaja di Dun Sungai Rapat, malah di seluruh Negara termasuklah orang Umno itu sendiri.

Dato’ Hamidah
“Saya dapat maklumat kekalahan Hamidah disambut gembira oleh orang Umno itu sendiri terutama kumpulan (dalam Umno) yang tidak suka dengannya.

“Ianya (kekalahan Hamidah) sudah pasti menjadi satu perkara mengembirakan dan dinanti-nantikan oleh Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir,” jelasnya lagi.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu berkata, sifat kesombongan dan ala samseng Hamidah antara penyumbang kemenangannya di Dun Sungai Rapat apabila pelbagai insiden yang diluar jangkaan telah dilakukan oleh Hamidah terutama dalam proses kempen pilihanraya.

Katanya, rakyat telah menilai apa yang dilakukan oleh Hamidah sepanjang beliau memegang amanah sebagai wakil rakyat selama dua penggal di Dun Sungai Rapat.

“Lihatlah gelagatnya yang sangat tidak bertamadun antaranya sering mengganggu program Pakatan Rakyat, menyerang pemimpin kita dan sebagainya seolah-olah beliau berkuasa besar di Negara ini.

“Ini telah menyebabkan rakyat membuka mata termasuk orang Umno untuk membuat perubahan dalam PRU13 lalu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Radzi berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin kepada masyarakat yang telah memberi amanah kepadanya untuk menjadi wakil rakyat disitu.

“Saya berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin dan sedaya upaya saya bagi membantu, membela serta menyuarakan permasalahan rakyat di Dun Sungai Rakyat.

“Saya juga berazam untuk memastikan Dun Sungai Rapat menjadi kubu kuat PAS bermula daripada PRU13 ini, justeru jentera di semua peringkat perlu bekerja keras untuk merealisasikannya,” tegasnya.

Dalam PRU13 lalu, Radzi telah mendapat undi sebanyak 192 40 manakala calon BN, Dato’ Hamidah Osman hanya memperoleh 16602 undi.

perakite daily

Tiada ulasan: