Cuepacs Mahu Kerajaan Kaji Sistem Gred Pasukan Beruniform

Kaji skim, gred gaji anggota penjara
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengkaji semula skim gred dan kenaikan pangkat tujuh pasukan beruniform, bersesuaian dengan risiko yang dihadapi mereka sekarang.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata anggota pasukan terbabit bukan sahaja berdepan risiko kecederaan ketika menjalankan tugas tetapi juga kehilangan nyawa.

"Skim gred jawatan ini juga perlu dinaikkan kerana anggota beruniform yang telah menjalani latihan kemahiran khas, contohnya anggota bomba selama enam bulan, tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang tidak melalui latihan intensif khas.

"Kerajaan juga diharap dapat menyelaraskan skim gred dan kenaikan pangkat untuk semua tujuh agensi badan berkenaan supaya seragam, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan belia menyertai kerjaya profesional itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Omar yang ditemui selepas perasmian penutupan Bengkel Khas Anggota Beruniform Sektor Awam, berkata Cuepacs akan mengemukakan cadangan mengenai perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara, selepas menyelaras semua syor yang diterimanya daripada agensi terbabit.

Agensi dan jabatan terbabit ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Pengangkutan Jalan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Pihak Berkuasa Tempatan dan Penguasa Penjara.

Jika dilaksana, skim itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 warga kerja.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan ada penjawat awam menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan pihak pembangkang sejak akhir-akhir ini, Omar menjawab: "Berani buat berani tanggung."

Bernama

Tiada ulasan: