5 Orang Kuat Ku Li, Isytihar Sertai PAS

Lima orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah semalam mengisytiharkan diri mereka menyertai PAS kerana kecewa dengan Umno yang dilihat meminggirkan penduduk di Gua Musang.

Kelima-lima mereka adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang Abdul Karim Mat Diah, Ketua Pemuda Umno Cawangan Batu Papan Zulhelmi Zulkifli, Ketua Umno Cawangan Limau Kasturi Nawang Ismail, Ketua Pemuda Umno Cawangan Lepan Jaya Rozali Rodin dan Ketua Pemuda Umno Cawangan Kuala Betis Ibrahim Hassan.

Kelima-lima mereka telah menyerahkan borang kepada calon PAS bagi Parlimen Gua Musang Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada satu program ceramah di Gua Musang malam semalam.

Wan Rahim ketika ditemui Harakahdaily menyifatkan penyertaan kelima-lima orang kuat veteran Umno itu menunjukkan satu petanda baik kepada politik Gua Musang pada Pilihan Raya Umum kali ini.

Malah jelasnya lagi, beliau yakin perkembangan ini memberi peluang kepada PAS untuk merampas kerusi yang telah dikuasai oleh BN sejak 44 tahun lalu lagi.

"Dengan penyertaan mereka, ini menunjukkan satu petanda yang baik untuk Pakatan Rakyat khususnya PAS bagi merampas balik kerusi yang dimenangi oleh BN sejak sekian lama.

"Saya pasti dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh mereka, kita dapat menarik lebih pengundi dan secara tidak langsung akan memberi jumlah majoriti yang besar kepada kita nanti," jelasnya.

Mengulas suasana kempen, Wan Rahim turut berterima kasih dengan kedua-dua penyokong dalam parlimen Gua Musang kerana menjadikan kempen pilihanraya kali ini begitu aman tanpa ada sebarang provokasi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di kedua-dua parti yang dapat menjaga keamanan tanpa sebarang provokasi pada kempen kali ini.

"Saya sendiri tidak berasa takut untuk bergerak kerana suasana aman yang ditunjukkan, malah suasana ini turut ditunjukkan di kawasan-kawasan Felda," sambung beliau.

Beliau berjanji akan memastikan Parlimen Gua Musang akan menjadi penyumbang kepada jumlah kerusi di peringkat parlimen agar matlamat untuk tawan Putrajaya tercapai.~ hd

Tiada ulasan: