Cari Blog Ini

Ahmad Said Kena Lagi, Lepas Stadium Runtuh, Timbul Pula Isu Balak

'Tuduhan Rasuah Berhubung Pengurusan Balak Di Bawah Pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu'

Umno/Barisan Nasional menumpukan sepenuh serangan terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat (terutamanya Kedah) dengan tuduhan pelbagai kelemahan pengurusan balak.

Namun, sehingga kini masih belum ada satu pendakwaan pun yang dibuat berhubung pelbagai tuduhan ini yang menunjukkan ia hanya satu serangan politik yang tidak berasas.

Pada masa yang sama, YB Dr Syed Azman dan saya telah sama-sama mengumpul bukti dan maklumat yang secara jelas menunjukkan modus operandi bagaimana rasuah dan penyelewengan berlaku di dalam pengurusan balak di Terengganu, di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.

Hari ini, kami tampilkan bukti-bukti awal perkara ini sementara menunggu reaksi dan jawapan dari Dato’ Seri Ahmad Said dan pimpinan Umno/Barisan Nasional di peringkat pusat.

Kajian kami menunjukkan modus operandi pengutipan wang rasuah bersabit balak di Terengganu adalah seperti berikut :-
  1. Syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat
  2. Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja
  3. Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan
  4. Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu
  5. Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.
Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad Said.

Pihak kami juga telah berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) seperti mana yang digambarkan di atas.

Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu 6 bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd, yang hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

Kami mempunyai bukti-bukti lain yang jelas bahawa perjanjian ini ada kena mengena dengan kelulusan membalak yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pengurusan Dato’ Seri Ahmad Said.

Bukti-bukti ini akan terus dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu ini menjelang pilihanraya umum ke-13 sementara menunggu jawapan rasmi dari beliau dan keseluruhan kepimpinan Umno/Barisan Nasional.

Buat masa sekarang, kami menasihati supaya media-media milik Umno/Barisan Nasional tidak terlalu ghairah mereka-reka cerita mengenai penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat kerana kes rasuah balak di negeri Terengganu adalah lebih besar dan lengkap dengan bukti-buktinya.

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI
ADUN BATU BURUK/TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG PAS


RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


(Muat Turun) Salinan dokumen;

1) Surat kelulusan membalak daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

2) Penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement).

'Pakatan Rakyat dedah rasuah balak di Terengganu' 

Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan mengenai modus operandi yang didakwa mengutip wang rasuah yang berlaku dalam pengurusan balak di Terengganu.

Timbalan Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa, syarikat ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian seorang penama atau proksi supaya membeli saham syarikat dormant pada harga tinggi.

Syarikat yang dipunyai penama atau proksi yang dijual ini selalunya dengan harga RM2 sahaja, dakwanya.

Sedangkan syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Syed Azman mendakwa, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan yang ditentukan kerajaan Terengganu.

Beliau mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

`Orang tertentu yang berpengaruh’ “Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

“Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan kerajaan Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant yang mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

“Kami berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terlibat dalam satu urusniaga pembelian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Ujar beliau, 12 syarikat terlibat dan dipaksa untuk membeli saham berharga RM2 tersebut.

Katanya, bukti-bukti penyelewengan ini akan terus dikeluarkan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihan raya umum ke 13 dan menunggu jawapan rasmi dari Ahmad.

Pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Keputusan ini diluluskan oleh mesyuarat lembaga mengambil hasil hutan yang dipercayai dipengerusikan oleh Ahmad.~ fmt

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.