Masyarakat Perlu Berjaga-Jaga Dan Lindungi Kanak-Kanak, Kata Presiden PKR

           
Masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan kanak-kanak sentiasa dilindungi dari penjenayah, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah (gambar) bersimpati dengan keluarga William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang ditemui mati di jeti Sungai Sireh pada Jumaat lalu, dan berkata kematian kanak-kanak tersebut adalah satu tragedi, sama seperti kehilangan Nurin Jazlin Jazminin, Sharlinie Mohd Nashar dan Tin Song Shen yang menyayat hati.

“Kita tidak seharusnya hanya bertanggungjawab kepada keluarga kita semata-mata, tetapi membiarkan yang lain begitu sahaja.

Terdapat banyak bahaya di luar sana, bagi memastikan anak-anak selamat, kita hendaklah saling bantu membantu antara satu sama lain.

“Ini adalah cara tradisi yang diamalkan di kampung, kita mesti cari jalan supaya ia boleh dilakukan dalam kawasan bandar juga,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut presiden PKR itu, walaupun tugas mencari dan menyelamat dilakukan oleh polis dan anggota keselamatan, tetapi orang ramai, terutamanya penduduk kejiranan, memainkan peranan penting dalam 24 jam pertama, dengan memerhatikan dan melaporkan sebarang insiden yang meragukan.

“Dengan cara ini, operasi mencari dan menyelamat dapat dilakukan dengan pantas dan dapat memberi fokus lebih baik, seterusnya membaiki peluang untuk berjaya (menyelamatkan kanak-kanak yang diculik),” katanya lagi.

Beliau berkata, semua masyarakat, tidak mengira kaum, usia dan pandangan politik perlu saling bertanggungjawab melindungi kanak-kanak dari bahaya.

Jumaat lalu, polis mengenalpasti mayat yang ditemui di Sungai Kelang, berhampiran Jeti Sungai Sireh, 75 peratus sebagai mayat Yau.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli bekata dalam laporan media, keluarga Lau telah mengenalpasti mayat mangsa berdasarkan parut di hadapan dan belakang kepala serta seluar pendek yang dipakainya.

Keputusan post-mortem tidak boleh menentukan punca kematian kerana keadaan mayat yang telah reput.

Bagaimanapun, berdasarkan keadaan mayat, kesimpulan boleh dibuat kanak-kanak lelaki itu sudah mati selama seminggu.

ACP Yahaya berkata, keluarga mangsa hadir ketika bedah siasat dilakukan ke atas mayat tersebut.~ MI

Tiada ulasan: