[Bongkar] Kemewahan Anak Taib Mahmud Hasil Penyelewengan & Rasuah

Kemewahan pendapatan anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib yang dipercayai melebihi RM200,000 sebulan hasil penyelewengan kuasa dan rasuah oleh bapanya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari.

Beliau mengulas pembongkaran seorang saksi di mahkamah berhubung kekayaan terbaru yang dimiliki Bekir, minggu lalu.

Dedah saksi tersebut dalam kes tuntutan Mutaah bekas menantu Tan Sri Abdul Taib Mahmud kepada Mahkamah Tinggi Syariah, Bekir memiliki aset simpanan RM1.3 juta dalam KWSP dan 400,000 unit saham dalam Amanah Saham Nasional (ASN).

Bekir dilaporkan saksi, mencarum sebanyak RM1,367,584.66 sejak 1992 hingga 2012 dan pernah dikeluarkan dua kali iaitu pada 1998 (RM158,312) dan 2011 (RM1,874,331).

Menurut Anisah Jaafar dari Kumpulan Wang Caruman Simpanan Pekerja (KWSP), caruman terkini ke atas Bekir dibuat oleh dua syarikat iaitu Cahaya Mata Sarawak Berhad sebanyak RM4,600 sebulan dan Titatanium Project Management Sdn Bhd sebanyak RM9,200 sebulan.

Pengurus Perhubungan ASN, Bazil Othman pula mendedahkan, Bekir memiliki sejumlah 404,226 unit saham dalam ASN dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), lapor TheMalaysianInsider.

“Caruman itu menunjukkan pendapatan anak Taib Mahmud melebihi RM200,000 sebulan,” katanya.

“Kalau bukan kerana salah guna kuasa dan rasuah yang diamalkan bapanya, mana mungkin Mahmud Bekir mampu memperoleh pendapatan begitu banyak,” jelasnya ketika dihubungi.

Menurut Nazib, umum juga mengetahui Cahaya Mata Sarawak dimiliki Taib, dan KEADILAN Sarawak beberapa kali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat syarikat itu.

“Justeru kita desak SPRM sekali lagi agar menjalankan siasatan dan bertindak adil dengan memberitahu dari mana sumber kekayaan empayar tersebut,” tegas Ahmad Nazib.

Pada 26 November lalu, Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Maybank, Musinah Manap, 47, mengesahkan di mahkamah, Bekir merupakan pemegang kad caj American Express Platinum dengan nombor 3762-490572-25004 yang tidak ditetapkan had perbelanjaan.

Penyata dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kad caj American Express dari Maybank itu menunjukkan perbelanjaan berjumlah RM782,520.55.

Pada 2 Oktober, bekas isteri Bekir, Shahnaz Abdul Majid memberi keterangan mengenai kira-kira RM700 juta dalam akaun asing atas nama Bekir di Amerika Syarikat, Caribbean, Switzerland dan Hong Kong.

Mengikut keterangan Shahnaz, aset Bekir dikatakan bernilai lebih RM1 bilion.

Ekoran itu, Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian turut mendesak SPRM agar membuat siasatan segera namun tidak pernah diambil tindakan. KD

Tiada ulasan: