Cari Blog Ini

SPR : Kod Bar Tidak Perlu Pada Kertas Undi


KUALA LUMPUR: Kod bar tidak perlu digunakan pada kertas undi bagi menggantikan pengguna nombor siri sedia ada, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata kerahsiaan undi tetap terjamin dengan penggunaan nombor siri kerana kertas undi hanya dikeluarkan kepada pengundi setelah semakan identiti dibuat.

Wan Ahmad berkata, penggunaan nombor siri bertujuan memastikan jumlah kertas undi dalam peti undi adalah sama dengan yang dikoyak daripada buku kertas undi serta mempunyai nombor siri serupa.

"Penggunaan nombor siri adalah lebih mudah, jika ada pertikaian, kita semak terus dengan buku kertas undi," katanya hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood, semalam supaya nombor siri pada kertas undi dihapuskan.

Wan Ahmad berkata, nombor siri pada kertas undi diguna pakai di kebanyakan negara seluruh dunia kerana ia adalah cara yang cepat dan terbaik bagi mengetahui jumlah yang keluar mengundi.

Beliau berkata, parti politik di Malaysia perlu percaya dan yakin dengan sistem pilihan raya yang diamalkan sekarang kerana ia telah dipraktikkan sejak merdeka.

"Sistem kita sudah berjalan dengan baik, dan kita (SPR) sudah lakukan banyak penambahbaikan termasuk bercadang menggunakan dakwat kekal pada jari," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad berkata kertas undi yang digunakan semasa pilihan raya bukan kertas biasa sebaliknya diimport dan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad dengan penuh kerahsiaan.

"Warnanya pun kita rahsiakan sehingga hari mengundi. Ia bukan warna sama pada setiap pilihan raya," katanya. - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.