Cari Blog Ini

Laksana Hukum Islam Untuk Kawal Kadar Anak Luar Nikah



DPPWP merasa bimbang dengan kadar kelahiran anak luar nikah di negara ini dari tahun 2008 hingga 2010, iaitu seramai 152,182 berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

DPPWP melihat jumlah ini sangat besar dan memalukan bagi sebuah negara umat Islam seperti Malaysia.

DPPWP merasa khuatir dengan trend ini kerana ia menunjukkan tahap sosial, zina, serta pergaulan bebas generasi muda di negara ini sangat tidak terkawal.

DPPWP berpandangan lambakan pusat-pusat hiburan yang disogokkan kepada generasi muda di negara ini secara keterlaluan menjadi punca utama kelahiran anak luar nikah.

Kebanyakan negeri yang mempunyai rekod kelahiran anak luar nikah tertinggi mempunyai bandar-bandar besar yang menawarkan pelbagai pusat hiburan, kelab-kelab malam, konsert, pesta, serta sambutan sempena peristiwa besar negara.

Pusat hiburan adalah pusat segala maksiat yang disinilah berlakunya pergaulan bebas, arak, zina, pelacuran, bahkan dadah dan segala macam jenayah.

Yang lebih dikesalkan adalah pusat-pusat hiburan semakin banyak bercambah, malah diberikan permit untuk beroperasi.

Selain itu, DPPWP juga kesal kerana budaya hiburan melampau melalui televisyen mudah mendapat tempat. Akhir-akhir ini pula, semakin galak pula artis-artis yang berpakaian mengghairahkan diberikan liputan media dalam media utama negara.

Bahan berita mereka dengan aksi yang mendebarkan menjadi isu utama dalam media yang dibaca dan ditonton oleh jutaan anak-anak muda di negara ini.

DPPWP melihat sekiranya kerajaan serius mahu membendung gejala anak luar nikah, pusat-pusat hiburan perlu ditutup sama sekali.

Alasan bahawa pusat hiburan menjadi tarikan pelancongan tidak berbangkit kerana pusat hiburan tidak menguntungkan rakyat.

DPPWP yakin setiap agama dan adat resam inginkan yang terbaik untuk penganut mereka, justeru tidak salah jika pusat hiburan ditutup demi kebaikan semua pihak.

DPPWP juga mendesak agar konsert-konsert hiburan dikawal ketat agar tidak sewenang-wenangnya ia dibuat.

Mana-mana artis yang berpakaian menjolok mata perlu diharamkan, sementara penonton pula diasingkan antara lelaki dan perempuan.

Perlu ada garis panduan terhadap persembahan yang akan dibuat agar mematuhi budaya dan akhlak masyarakat di negara ini.

Akhir sekali, DPPWP menegaskan jika kerajaan benar-benar serius mahu menjadikan masyarakat di Malaysia jauh daripada gejala sosial, maka laksanakan Hukum Islam yang sebenar kerana ia adalah pencegahan paling utama.

Cubalah buat perbandingan antara tahun-tahun yang tidak dilaksanakan hukum Islam dengan tahun-tahun yang ia dilaksanakan untuk tahu keberkesannnya hukum Allah ini.


Hukum Islam Untuk Kawal Kadar Anak Luar Nikah


Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua DPPWP

Sumber : Harian Metro Online

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.