MH370 : Objek Terdampar Di Pantai Australia, Baru Pihak Australia Nak Siasat, Malaysia Dah Nafi !


MH370: DCA nafi objek terdampar di pantai Australia ada kaitan
Datuk Azharuddin Abdul Rahman
MH370: DCA nafi objek terdampar di pantai Australia ada kaitan

Semua objek yang dikesan oleh pesawat dan diangkut oleh kapal setakat ini tidak ada kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.

Demikian menurut Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada sidang media berhubung MH370 di Hotel Royal Bintang, pada Rabu.

"Kami tidak memperolehi apa-apa foto dari pihak Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)," katanya kepada pemberita.

Dalam sebuah kenyataan oleh JACC hari ini, Polis Australia Barat sedang menyiasat objek yang terdampar di pantai 10 kilometer dari timur Augusta berdasarkan laporan yang diterima mereka.

Menurut kenyataan JACC, pihak Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang mengkaji foto bahan tersebut untuk menentukan sama ada ianya ada kaitan dengan pesawat MH370 atau tidak.

JACC memaklumkan bahawa ATSB telah pun menyerahkan gambar-gambar tersebut kepada pasukan penyiasat Malaysia.

Menurut mereka, tiada sebarang maklumat tentang perkara itu setakat ini dan maklumat lanjut akan diberitahu sekiranya terdapat perkembangan.

Pencarian dasar laut diteruskan dengan sebanyak 10 pesawat tentera dan 12 kapal akan digunakan dalam misi pencarian hari ke 47 pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Fokus carian dasar laut memberi tumpuan kepada 10km radius bulatan kawasan yang telah dikesan pengesan ping semenjak 8 April. - astro awani


MH370: Bahan tidak dikenali terdampar di pantai Augusta, Australia
Polis Australia Barat sedang menyiasat laporan mengenai satu bahan tidak dikenali didapati terdampar di pantai kira-kira 10 km di timur Augusta dan lebih kurang 322 km di selatan Perth.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti gambar bahan yang dijumpai itu untuk menentukan sama ada analisis lanjut perlu dibuat dan ia mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

ATSB juga memberi gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu, kata JACC dalam kenyataan terkininya pada Rabu.

Operasi mencari pada Rabu dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

- Bernama

                          
                          

MH370 : Kerana Tiada Jumpa Apa-Apa, PM Australia Tony Abbott Mahu Guna Sonar Lebih Canggih


Abbott Mahu Guna Sonar Lebih Canggih
[sinar]- Perdana Menteri Australia, Tony Abbott akan menggunakan peralatan sonar komersial lebih tinggi untuk mengimbas permukaan dasar laut bagi mengesan kotak hitam milik MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurutnya, peralatan sonar berkuasa tinggi yang dimaksudkan mirip dengan peralatan yang menemui kapal RS Titanic pada kedalaman 3,800 meter di bawah Lautan Atlantik pada tahun 1985 dan bangkai kapal Perang Dunia Pertama Australia, HMAS Sydney di Lautan Hindi pada 2008.

“Misi carian MH370 tidak akan dihentikan meskipun pasukan mencari gagal menemui objek yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kotak hitam MH370.

“Malah kami akan mengerah peralatan sonar yang lebih canggih dan berkuasa tinggi untuk mengimbas dasar laut,” katanya dalam laporan yang dipetik sebuah portal.

Sementara itu, kenyataan dari Pusat Penyelarasan Bersama Agensi pula mengesahkan kenderaan dalam air automatik (AUV), Bluefin-21 sudah mengimbas 80 peratus dari 310 kilometer persegi dasar laut di perairan Barat Australia.

Dalam pada itu menurut Menteri Pertahanan Australia, David Johnson, pihaknya kini sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Malaysia, China dan Amerika Syarikat (AS) untuk memasuki fasa seterusnya bagi misi carian MH370 yang terletak di Laut Hindi.

“Pihak kami masih merundingkan perkara ini, mungkin fasa baru ini akan diumumkan pada minggu depan.

“Sekiranya tempoh masa carian ini berakhir tanpa menemui apa-apa, kami tidak akan membubarkan operasi ini malah kami akan fikirkan jalan alternatif lain bagi membantu menyelesaikan misteri ini,” katanya.

                          
                    
                          

MH370 : Luahan Hati Isteri Pramugara, Dakwa Kerajaan Menipu & Rancang Plot Drama MH370



Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram.

Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

“Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar,” tulisnya.

Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan “masih ada” dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang.

Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang.

Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas.

Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini.

“Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu,” ujar waris berkenaan.

Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian.

“Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’ pun jadilah.

“Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung. 


Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa,” jelasnya.

Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. 


Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

“Saya tak tahan dengar dan terus balik,” katanya.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi.

Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu. - ASTRO AWANI 



                   
                   
                   

Demo 1 Mei Haram, Kata Polis



Demo besar-besaran bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini diisytiharkan haram kerana tidak menepati Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainuddin Ahmad, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan itu mahupun terbabit dengan perarakan jalanan kerana ia adalah satu kesalahan.

                   


                                  Larangan sertai himpunan bantah GST

Orang ramai dilarang menyertai Himpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini kerana program itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Zainuddin Ahmad berkata, program itu tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa selepas pihak penganjur perhimpunan gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka untuk menggunakan lokasi berkenaan.

Katanya beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa penganjur, S Arutchelvan, yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pembantunya pada 16 April lepas bagi tujuan mendapatkan maklumat bagi membolehkan polis membuat persiapan awal.

"Arutchelvan telah memberitahu bahawa mereka semua akan berkumpul di KLCC pada tengah hari dan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka.

"Saya menasihatkan mereka supaya mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran pihak pengurusan lokasi perhimpunan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zainuddin berkata, dua hari selepas pertemuan itu, pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan kepada pihak polis tanpa surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka.

Beliau berkata pada 21 April lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

"Mereka memaklumkan akan mengadakan perhimpunan yang sama tetapi disebabkan masih tidak mempunyai kebenaran daripada pengurusan di kedua lokasi itu maka saya menasihatkan mereka supaya memilih lokasi alternatif di Stadium Merdeka," katanya.

"Saya mengesyorkan supaya mereka memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk mendapatkan kebenaran namun sehingga ke hari ini mereka juga tidak memberikan sebarang jawapan," katanya.

Justeru, Zainuddin berkata oleh kerana pihak penganjur gagal mematuhi akta tersebut dan sekiranya diteruskan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan tersebut sempena Hari Pekerja itu dirancang oleh satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

- Bernama

Rakyat Malaysia Mampu Jatuhkan Kerajaan Yang Korup Dengan Ganas, Kata Mahathir


Pemimpin diingatkan supaya tidak memandang rendah terhadap kemampuan rakyat Malaysia menjatuhkan kerajaan yang korup sama seperti di negara Timur Tengah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, sejarah raja dan diktator di Timur Tengah membuktikan kuasa rakyat mampu menjatuhkan pemimpin sehingga menggunakan tindakan keras dan ganas.

"Rakyat Malaysia belum tahu cara yang ganas.

"Mereka mungkin menggunakan pilihan raya untuk memperbetulkan keadaan tetapi janganlah kita terlalu yakin yang mereka akan terus berlembut," katanya dalam tulisan bertajuk "Mereka yang berkuasa" di blognya www.chedet.cc hari ini.

Katanya, perkara ini tidak mustahil akan berlaku di negara ini kerana sejarah Melayu membuktikan rakyat pernah bersatu dan bertindak secara ganas menjatuhkan pemimpin zalim.

"Sultan Mahmud dibunuh walaupun tabiat orang Melayu tidak menderhaka kepada raja," katanya.

Namun menurut Dr Mahathir, senario politik negara sehingga kini masih tidak sanggup untuk menasihati pemimpin kerana takut dimarahi atau dipandang serong.

Katanya, ini kerana kebiasaannya ramai menyokong dan memuji apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa; sama ada ikhlas menyatakan pendapat atau cuma mengangguk dan mengiakan apa sahaja yang disukai oleh yang berkuasa.

Menurut Dr Mahathir, orang sekeliling pemimpin yang sepatutnya memberi nasihat dilihat hanya membawa kesan buruk kerana tidak berani menyuarakan teguran sehingga menimbulkan kebencian rakyat.

"Tanpa teguran yang berani oleh mereka maka akan lebih buruklah prestasi pihak berkuasa.

"Kemarahan orang akan meningkat menjadi kebencian," katanya.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semalam menggesa Putrajaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan pembangunan demi memajukan kehidupan kaum Melayu.

Beliau yang memegang jawatan itu dari 1984 hingga 1991 semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu melakukan penyelidikan dan membetulkan semula dasar supaya ekonomi negara dapat dimajukan.

"Kerajaan sepatutnya mencari cara serta jalan penyelesaian untuk menangani masalah ekonomi di negara ini.

Menurut Daim, beliau bukanlah bukan anti-kerajaan ketika mengulas tentang kepincangan menteri kewangan dalam mentabdir urus sistem perbelanjaan negara.

"Saya bukan bermusuh dengan kerajaan, saya cuma anti dengan dasar kerajaan yang sudah lompong dan tidak betul.

"Ini isu yang serius. Rakyat harus tahu bahawa dasar yang diamalkan kerajaan tidak memberi faedah serta manfaat kepada rakyat, malah ia membebankan rakyat daripada segi peningkatan perbelanjaan ekonomi seharian," katanya seperti dilapor portal berkenaan.

The Malaysian Insider